"Terima Kasih Abang Polis, sebab..."



PERMAISURI: Tindakan pantas polis menyekat laluan keluar di Terminal Bas Bandar Permaisuri di sini, dapat mematahkan cubaan curi sebuah kenderaan dalam tempoh kurang 15 minit selepas ia dilarikan dari kawasan berhampiran stesen minyak Caltex di Sungai Tong, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari, kereta Honda Civic 2.0 dilarikan seorang lelaki terbabas dan melanggar longkang dekat Terminal Bas Bandar Permaisuri selepas panik apabila dikejar polis, sebelum lelaki itu ditahan.

Sebelum kejadian, pemilik kenderaan berusia 30-an yang bekerja sebagai Penolong Jurutera Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Setiu sedang bertugas di lokasi berhampiran stesen minyak itu.

Mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, beliau meletakkan kereta itu di bahu jalan di lokasi berkenaan untuk memantau kerja pembaikan lampu jalan di situ.

Beliau berkata, ketika sedang bekerja, beliau tiba-tiba menyedari keretanya yang dikunci dan diletakkan kira-kira 10 meter dari tempat dia bekerja dilarikan seorang lelaki tidak dikenali.

“Terkejut melihat kereta saya dilarikan lelaki itu, saya menjerit dan cuba menahan beberapa kenderaan di lokasi sebelum seorang lelaki yang memandu Toyota Hilux berhenti dan mahu membantu.

“Dalam masa sama, seorang rakan sekerja yang turut berada di lokasi segera menghubungi polis memaklumkan kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, penjenayah memecut laju kenderaan miliknya sehingga sejauh kira-kira 30 kilometer ke arah Jertih, sebelum ia dikesan polis dan terbabas lalu melanggar longkang menyebabkan kereta itu rodak dan tidak dapat bergerak.

“Setibanya saya di lokasi saya lihat polis sudah menahan lelaki terbabit. Saya lega kereta ditemui semula. Terima kasih atas tindakan pantas polis yang membolehkan kereta saya dikesan dan penjenayah ditangkap,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris ketika dihubungi berkata, sepasukan empat pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu yang menerima maklumat terserempak kenderaan dicuri itu di Sungai Tarom, di sini.

“Pegawai dan anggota berkenaan kemudian mengejar suspek hingga ia memasuki Terminal Bas Bandar Permaisuri untuk mengelak ditahan polis.

“Bagaimanapun, tindakan pantas pegawai dan anggota menyekat laluan keluar daripada terminal bas itu menyebabkan suspek panik dan mengundurkan kenderaan sebelum terbabas lalu melanggar longkang di situ.

“Suspek kemudian ditahan dan ujian saringan air kencing mendapati lelaki berusia 30-an itu positif dadah Methamphetamine dan pemeriksaan turut mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya.

Beliau berkata, lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
  • Berita Harian -
Share:

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

Powered by Blogger.

Labels

Recent Posts

Pages