INDIVIDU bujang yang menggunakan pengangkutan awam dan tinggal di Lembah Klang memerlukan sekurang-kurangnya RM1,870 sebulan bagi menampung perbelanjaan harian untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Malah, bagi individu bujang yang memiliki kenderaan sendiri, golongan ini perlu berbelanja sekitar RM2,490 sebulan untuk menjalani kehidupan yang lebih baik di lokasi yang sama.
Anggaran belanja berkenaan termasuklah makanan, rumah, kesihatan, pengangkutan, utiliti, simpanan, penjagaan diri, belanja tahunan, aktiviti sosial dan belanja lain serta penjagaan kanak-kanak bagi pasangan berkahwin.
Menurut Buku Panduan Belanjawanku yang dilancarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya, ia adalah perbelanjaan minimum bulanan ke atas pelbagai barang dan perkhidmatan yang diperlukan oleh setiap isi rumah bagi taraf hidup yang selesa.
Katanya, dalam Belanjawanku, taraf hidup yang munasabah merangkumi wang yang mencukupi bagi memenuhi keperluan asas, terbabit dengan aktiviti komuniti seperti keluarga dan rakan serta mempunyai tujuan hidup yang bermakna.
“Pasangan berkahwin tanpa anak kira-kira RM4,420 diperlukan manakala pasangan berkahwin dengan seorang dan dua anak pula masing-masing perlu memperuntukkan sehingga RM5,730 dan RM6,620 sebulan.
“Selain itu, bagi pasangan warga emas yang berada di Lembah Klang pula perlu mempunyai belanjawan sebanyak RM3,090 pada setiap bulan bagi menampung kehidupan seharian di kota raya,” katanya.
Tambah Alizakri, tujuan Belajawanku diwujudkan adalah bagi mengatasi masalah tahap celik kewangan yang rendah, peningkatan kos sara hidup dan hutang yang tinggi dalam kalangan rakyat.
“Wang ringgit adalah komponen utama ekonomi dan kami yakin ia boleh menjadi rujukan asas dan praktikal dalam pengurusan perbelanjaan,” katanya.
Buku Panduan Belanjawanku boleh dimuat turun secara percuma di laman web KWSP atau mana-mana kaunter KWSP di Lembah Klang.
TAK WAJAR TINGKAT PERATUS SUMBANGAN KEPADA KWSP
Kajian mendalam perlu dijalankan ke atas gaji dan upah pekerja di negara ini dengan me- ngambil kira aspek kos sara hidup.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP,) Tunku Alizakri Alias berkata, kerajaan perlu meneliti perkara ini selari dengan peningkatan kos sara hidup.
“Pada masa ini, tidak wajar jika ditingkatkan peratusan sumbangan kepada KWSP melainkan mengkaji kesesuaian tahap upah dan gaji pekerja di Malaysia.
“Peratus sumbangan 11 hingga 12 peratus oleh majikan dan pekerja ke dalam KSWP antara yang kelima tertinggi di dunia.
“Jika jumlah peratusan itu terus ditambah, ia akan memberikan lebih implikasi kepada pekerja,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Belanjawanku - Panduan Perbelanjaan Untuk Individu&Keluarga di Malaysia di sini, semalam.
Pelancaran disempurnakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Hadir sama, Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman.
Alizakri berkata, peningkatan jumlah caruman itu akan memberi impak terhadap pekerja dari segi perbelanjaan mereka manakala bagi majikan ialah membabitkan kos menjalankan perniagaan.
“Isu seumpama ini sangat sensitif. Saya tidak akan mengesyorkan peningkatan sumbangan (caruman) pada kadar segera, sebaliknya mencadangkan kajian lebih lanjut perlu dilaksanakan sebelum sesuatu tindakan dapat diambil,” katanya.
- BERITA HARIAN -
No comments:
Post a Comment