Pasukan Simpanan Persekutuan FRU
Pasukan Simpanan Persekutuan (Bahasa Inggeris: Federal Reserve Unit) atau lebih dikenali dengan singkatan FRU telah ditubuhkan sebagai sebuah pasukan khas yang boleh dikerah tanpa mengira waktu untuk bertindak secara tegas dan sistematik terhadap sebarang rusuhan atau perhimpunan haram yang berlaku di Malaysia.
Sejarah
Pasukan ini ditubuhkan sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan iaitu pada 5 Disember, 1955. Bermula dengan 3 terup di awal penubuhannya, FRU telah menempa kejayaan mengatasi masalah ketenteraman awam seperti pemogokan, tunjuk perasaan dan rusuhan yang berlaku di awal tahun 1950-an. Pada akhir tahun 1990-an, FRU juga memainkan peranan yang penting dalam menangani rusuhan yang tercetus akibat penangkapan Anwar Ibrahim.
Peranan
Peranan pasukan ini khusus untuk menyuraikan perhimpunan haram, penumpasan rusuhan dan menjalankan tugas-tugas lain berkaitan dengan keadaan Ketenteraman Awam. Unit ini adalah serba lengkap dan berkemampuan, bermobiliti tinggi dan menjadi Unit Simpanan Ketenteraman Awam. Apabila unit ini tidak terlibat dalam tugas-tugas Ketenteraman Awam, mereka boleh digunakan oleh Pegawai Memerintah dalam tugas membantu Ketua Polis Daerah, Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas yang merangkumi:-
Tugas mencegah jenayah seperti rondaan khas sebagai tambahan kepada rondaan Bit/Patrol di kawasan yang sering berlaku jenayah;
-Bantuan keanggotaan semasa bencana (banjir, kebakaran, tanah runtuh, nahas udara dan lain-lain ) untuk menyelamatkan nyawa, memindahkan penduduk, mengepong kawasan dan mencegah rompakan;
- Operasi polis secara besar-besaran seperti kepongan dan pemeriksaan, penapisan, rondaan intensif dan lain-lain
- Tugas Kawalan Orang Ramai semasa lawatan orang kenamaan, sukan, perarakan, perhimpunan dan lain-lain.
Oleh sebab peranannya yang semakin penting, pasukan ini telah diperbesarkan kepada 7 unit, dengan jumlah keanggotaan pada 2003 seramai 2,481 orang. Setiap unit, mengandungi 3 terup. Di samping itu FRU juga mempunyai unit water canon, unit berkuda dan institusi latihan di Sungai Senam, Ipoh,
Perak. Sejajar dengan keperluan semasa dan tuntutan undang-undang, serta bagi melicinkan perlaksanaan tugas, satu terup khas wanita telah diwujudkan dan terup ini berpengkalan di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Prestasi FRU ini dikenali sehingga ke peringkat antarabangsa. Ini jelas apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memohon kepada PDRM bagi menempatkan pasukan pencegah rusuhan di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Timor Leste.
Pasukan ini ditugaskan untuk mengawal rusuhan dan ketenteraman awam di sebuah negara yang baru mencapai kemerdekaan.
No comments:
Post a Comment